Sunday, May 31, 2015

Novel : Mawar Syurga

Buku               :           Mawar Syurga
Penulis            :           Fatimah Saidin
Terbitan          :           Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad (2013)

Harga              :           RM30 (sem. Malaysia), RM35 (Sabah/Sarawak)



Keseluruhan penceritaan dalam novel ini bolehlah saya katakan ia sebagai sebuah buku novel islamik yang bercirikan akidah islam iaitu perancangan Allah mengatasi segala perancangan hamba-Nya dan sudah pasti perancangan Allah itu jauh lebih baik dan berhikmah. Al-Quran adalah sebuah kitab yang membicarakan hakikat ini di antaranya disebutkan bagaimana nabi Allah Ibrahim a.s begitu menyayangi anaknya Ismail a.s, tetapi Allah Taala telah menyuruh Ibrahim a.s menyembelih anaknya Ismail a.s. Atas keimanan yang teguh, nabi Ibrahim a.s melaksanakan perintah tersebut (rujuk surah as-Saffat, ayat 100-111).

Begitu juga watak Mariam di dalam novel ini yang telah membuat perancangan hidupnya dengan begitu sempurna sejak dari universiti lagi. Beliau ingin melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Phd dan menjadi seorang pendakwah kepada masyarakat. Tetapi Allah lebih mengetahui segalanya. Allah mendidik Maryam si gadis cekal itu dengan ujian yang banyak dan berat. Adakalanya Maryam berasa lemah lalu Allah hadirkan insan-insan di sisinya yang boleh menguatkannya sehingga di penghujungnya, ia mampu mengatasi segalanya dan melihat bahawa rahmat Allah itu tersangatlah luas baginya. Allah melaluinya cara-Nya telah mendidik Maryam agar lebih tabah dan cekal.
Di dalam ini menampilkan perkahwinan antara dua bangsa iaitu Arab dan Melayu yang masih jarang kita lihat di Malaysia. Dua jiwa yang berbeza pada awalnya pasti sukar untuk memahami antara keduanya, tetapi perbincangan di dalam rumahtangga dilihat satu metod yang penting dalam menyelesaikan apa jua masalah yang timbul. Perlu kita ingat bahawa setiap masalah itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Ia bergantung kepada kebijaksanaan individu untuk mengatasi setiap masalah yang datang. Manusia semuanya tidak ada yang sempurna. Kehidupan berumahtangga yang saling melengkapi antara suami dan isteri  di dalam novel ini sangat baik ditunjukkan dan ia wajar diteladani dalam masyarakat pada hari ini.

Alhamdulillah syukur pada Allah yang mendetikkan hati saya untuk membeli buku ini di booth ITBM di PBAKL’15 yang lalu. Bagi saya, novel berbentuk tarbiyah islamik dan motivasi ini sukar didapati di Malaysia ini. Begitu banyak pengajaran yang diperolehi di dalamnya antaranya;

[i] ilmu itu tersangatlah penting dalam kehidupan, dengan ilmu itulah akan mengangkat martabat manusia,

[ii] manusia mempunyai sifat dan perwatakan yang berbeza yang diciptakan untuk saling melengkapi untuk memakmurkan bumi Allah ini,

[iii] setiap ujian yang Allah datangkan haruslah dilihat dari sudut yang positif sebagai tanda kita redha dengan ujian yang diberikan serta sudah pasti ada hikmah yang besar di sebaliknya,

[iv] tiada masalah yang tidak mampu diselesaikan, manusia perlu berusaha sedaya upaya untuk mengatasinya,

[v] Allah adalah sebaik-baik tempat mengadu dengan kita bersujud dan berdoa memohon keampunan dan pertolongan dari-Nya. Bukan mengadu di facebook atau twitter yang sering dilakukan generasi pada hari ini.

Bagi saya ia adalah sebuah novel yang harus dimiliki sama ada remaja atau pasangan suami isteri. Cuma dari segi aspek penggunaan istilah bahasa Arab yang ada di dalamnya, saya cadangkan diletakkan nota hujung atau nota kaki mengenai maksudnya dalam bahasa Melayu kerana tidak semua individu di dalam masyarakat kita mempunyai latar belakang pengajian bahasa Arab yang mampu memahaminya.

~Wallahu A’lam~

Wednesday, October 1, 2014

Bertrand Russell


Perkataan falsafah berasal daripada gabungan dua perkataan Greek - Philein dan Sophos- yang bermaksud ‘kecintaan terhadap hikmah’ (Ahmad Sunawari : 2008). Perkembangan falsafah boleh dilihat melalui beberapa zaman yang bermula dari zaman Greek dan Roman, kemudian ke era falsafah abad pertengahan dan seterusnya kemunculan era falsafah moden (Mohammed Yusoff : 2002).
            Salah seorang tokoh falsafah zaman moden adalah Bertrand Russell. Menurut Russell, falsafah adalah sebagai suatu kritikan terhadap pengetahuan (Abdul Fatah : 2007). Nama sebenar beliau adalah Bertrand Arthur William Russell. Dilahirkan pada 18 Mei 1872 dan meninggal dunia pada 2 Februari 1970 ketika berumur 97 tahun. Hampir seabad beliau telah menempuh kehidupan dan mencapai kemahsyuran sebagai ahli falsafah dan pengkritik sosial, penulis, serta pendidik di banyak institusi berprestij seperti Cambridge, Harvard dan Barkeley (William Dunham : 2007).
            Sepanjang kehidupannya, beliau telah menulis banyak buku. Bermula pada tahun 1896, buku pertama beliau yang berjudul German Social Democracy telah dihasilkan. Seterusnya The Principles of Mathematics (1903), Political Ideals (1917), The Analysis of Mind (1921), On Education (1926), dan yang banyak lagi sehinggalah yang terakhirnya The Collected Stories of Bertrand Russell (1972) (Al Seckel : 1986).
            Dalam ratusan tulisan beliau, dapat disimpulkan bahawa beliau lebih cenderung sebagai ahli falsafah analitikal. Di dalam The Development of Bertrand Russell’s Philosophy, pengarang dengan panjang lebar membahaskan pemikiran Russell seperti dalam metafizik, teori logik, falsafah matematik, teori keilmuan, politik, pendidikan, etika dan agama (Lewis:1972). Beliau tidak percaya kehidupan beragama dengan menganggap ia membawa kepada kebinasaan. Dari aspek politik, beliau yang juga terlibat dalam mengutuk peperangan sehingga disingkirkan dari Cambridge dan pernah ditahan di penjara Brixton selama enam bulan (William Dunham : 2007).

            Dapat saya rumuskan bahawa, Bertrand Russell seorang ahli falsafah yang hebat dalam pelbagai bidang. Cuma dari segi teologi atau ketuhanan, maka kita wajib menolak pandangan beliau yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan disebabkan hujahnya yang banyak disardarkan dan dibuktikan pada logik akal semata-mata.

Rujukan:

Abdul Fatah Hasan. 2007. Mengenal Falsafah Pendidikan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ahmad Sunawari Long. 2008. Sejarah Falsafah. Ed. Ke-2. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Al Seckel (pnyt.). 1986. Bertrand Russell on God and Religion. New York: Prometheus Books.

Dunham, William. 2007. Alam Matematik. Terj. Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Lewis, H.D (pnyt.). 1972. The Development of Bertrand Russell’s Philosphy. London: George Allen & Unwin Ltd.

Mohammed Yusoff Hussain. 2002. Pengenalan Kepada Sejarah Falsafah Barat Moden. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.

Thursday, January 24, 2013

Maulidur Rasul 1434H

Assalamu'alaikum wa rahmatullah
Salam Maulidur Rasul 1434H


Alhamdulillah, bersyukur pada Allah selaku Pemerintah dan Pentadbir alam ini, kita masih dipanjangkan umur sehingga saat ini.

Hari ini, hari Khamis, 24 januari 2013 bersamaan 12 rabiul awwal 1434H, kita masih bernyawa untuk memperingati hari keputeraan junjungan mulia, nabi akhir zaman nabi Muhammad s.a.w, maka ucapkanlah selawat ke atasnya dengan sebanyak-banyaknya.

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi Segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang Yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta Ucapkanlah salam sejahtera Dengan penghormatan Yang sepenuhnya.” 
[al-ahzab 33 : 56]
--------------------------------   
“Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” [al-anbiyaa’ 21 : 107]

Saban tahun, pelbagai kaedah dilaksanakan di Malaysia untuk memperingati nabi Muhammad s.a.w yang telah menjalankan tanggungjawab menyebar risalah Islam ke seluruh pelusuk dunia. Dengan usaha dakwah yang dilakukan oleh baginda dulu, dapatlah kita merasa nikmat Islam dan Iman pada hari ini. Selaku umat baginda s.a.w, seharusnyalah kita menyambung wasilah perjuangan dakwah baginda pada masyarakat hari ini yang lebih mencabar.

~ marilah kita memperbanyakkan selawat pada baginda s.a.w bukan hanya pada maulidurrasul sahaja, malah setiap hari agar kita beroleh syafaat di akhirat kelak.
~ marilah kita berazam untuk mencontohi baginda s.a.w sama ada perkataan mahupun perbuatan baginda yang mulia.

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
[al-ahzab 33 : 21]
-----------------------------
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggamanNya (kekuasaanNya), salah seorang di antara kamu tidak beriman sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada orang tua dan anaknya.” [HR Imam Bukhari]

Anas r.a berkata, Nabi s.a.w bersabda, “Salah seorang di antaramu tidak beriman sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada orang tuanya, anaknya, dan semua manusia.” [HR Imam Bukhari]

Hadis riwayat Anas bin Malik r.a, ia berkata, Nabi s.a.w bersabda, “Seorang hamba (dalam hadis Abdul Warits, seorang lelaki) tidak beriman sebelum aku lebih dicintainya dari keluarganya, hartanya, dan semua orang.” 
[Shahih Muslim no.62]
-------------------------------
Wallahu a'lam
Dari Abdullah Ibn Amru Ibn Al-Ash,
Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sampaikan dariku walau satu ayat"
(Hadith riwayat Al-Bukhari)

Friday, December 21, 2012

seruan JIHAD : selamatkan Palestin, Syria - boikot Israel


Assalamu'alaikum Warahmatullah..

Isu umat Islam di Gaza dan Syria kini sangat terkesan dalam jiwa banyak umat Islam. Malah peperangan, pertumpahan darah serta penindasan berlaku sewenang-wenangnya pada umat Islam di sana. Boleh juga saya katakan inilah juga antara misi dan visi pihak yang membenci Islam yang didalangi Israel dan sekutunya Amerika yang terlalu mengimpikan kejatuhan dan kehancuran umat Islam. Berapa ramaikah antara kita yang berfikir?

Masih ramai antara kita umat Islam terutama di Malaysia ini yang lalai dengan keadaan semasa umat Islam yang ditindas. Memang tidak dinafikan ianya adalah disebabkan kita berada dalam negara yang aman damai sehingga maksiat bermaharajalela lalu Allah terus dilupakan. Berapa ramai yang mensyukuri nikmat kedamaian ini sehingga mampu beribadah dengan khusyuk? Tetapi sebaliknya, keadaan aman damai ini telah menyebabkan ramai antara kita terlalu mencintai dunia sehingga terbawa-bawa dalam ibadah lalu merosakkan amalan itu sendiri. Berapa ramaikah antara kita yang berfikir?

Bezanya di negara umat Islamnya ditindas, setiap masa mereka ketakutan, setiap masa ada sahaja nyawa yang melayang, dan setiap masa itulah mereka sentiasa ingatkan SYAHID. Janji Allah pada yang SYAHID adalah syurga. Maka sudah tentu ibadah mereka berbeza. Walaupun dalam ketakutan, tetapi hati mereka sentiasa mengingati mati. Itulah hikmah perjuangan yang sedang mereka hadapi. Berapa ramaikah antara kita yang berfikir?

-----------------------------------------------------------------

Mengenai keperihatianan kita sebagai saudara seIslam, bagaimanakah kita merasakan penderitaan mereka? Mampukah kita menjawab pertanyaan munkar dan nakir mengenai siapakah saudara kita dengan sikap ketidakpedulian dan pengabaian kita pada umat Islam yang ditindas?

Kita bukanlah ketua sebuah negara yang mampu menghantar bala tentera untuk membantu umat Islam yang tertindas. Kita juga bukanlah rakyat Palestin atau Syria yang mampu berjuang bersama-sama. Kita juga bukanlah anggota PBB mahupun OIC yang boleh lantang bersuara mengutuk serangan tentera Israel. Kita hanyalah insan biasa yang mempunyai sedikit kudrat pemberian Allah yang mengaku umat Islam itu adalah saudara kita. Ya, mereka adalah saudara kita. Kita sayang umat Islam di Gaza, kita sayang umat Islam di Syria, kita sayang umat Islam di seluruh dunia atas nama ukhuwah sesama muslim.

Justeru, apa yang mampu kita lakukan untuk membantu saudara kita?

1.DOA - kita mohon pada Allah agar umat Islam yang sedang berjuang agar diberi kekuatan, kemenangan dan tidak gentar menghadapi musuh-musuh Allah serta ditetapkan hati untuk terus berjuang di jalan Allah mengharapkan SYAHID. Kita juga doakan agar Allah membinasakan musuh-musuh Islam serta permuafakatan ke arah membinasakan Islam.
Boleh lihat Qunut Nazilah.

2.BOIKOT BARANG ISRAEL DAN MUSUH ISLAM – nampak seperti tiada kesan yang sangat besar, tetapi usaha ini jika dilakukan oleh seluruhumat Islam, dengan mudahnya ekonomi musuh-musuh Islam akan lingkup. Kita juga tak dikira bersubahat membeli senjata pemusnah kepada saudara kita sendiri. Moga dengan usaha kecil ini dianggap jihad oleh Allah.
Boleh lihat di sini (http://www.inminds.com/boycott-brands.html) senarai barangan yang perlu diboikot.

3.SUMBANGAN DAN DERMA – banyak badan keamanan ke palestin yang aktif pada masa ini. Jika kita tak mampu menyumbang tenaga, sekurang-kurangnya sumbanglah dalam bentuk harta atau wang. Dengan duit dan sumbangan itu akan mampu memberikan tenaga dan semangat kepada pejuang Islam untuk terus membela Islam. Dan dengan sumbangan kita ini, kita mengharapkan Allah akan mengiranya sebagai jihad di jalanNya.

4.IKLAN DAN SERUAN – fb, twitter, blog, dan macam-macam lagi kita boleh gunakan sebagai medium untuk berjihad melawan musuh-musuh Allah. Sebarkan penderitaan saudara kita yang sedang berjuang, sebarkan kekejaman musuh-musuh Allah agar umat Islam tidak leka dengan kesenangan, edarkan risalah ke masjid-masjid dan rumah-rumah supaya memboikot barangan Israel dan Amerika, dan memberikan galakan untuk menderma di internet, serta updatekan info terkini saudara kita di Palestin dan Syria.



---------------------------------------------------------------

SERUAN JIHAD SELAMATKAN ISLAM DAN BOIKOT ISRAEL SERTA MUSUH-MUSUH ALLAH

Antara kewajipan seorang muslim kepada saudaranya ialah tidak boleh membiarkannya teraniaya. Tindakan ini(membiarkan saudara muslim teraniaya) dilarang Allah, khususnya pada saat mereka sangat memerlukan pembelaan.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud,

“…dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu Dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya…” 
[potongan ayat dari surah al-anfal ayat 72]

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Tidaklah seorang muslim membiarkan saudaranya sesama muslim yang tengah dilecehkan kehormatan dirinya, melainkan Allah pasti akan membiarkannya ketika ia sangat memerlukan pertolonganNya.” 
(Riwayat Abu Daud)

“Siapa yang mendapati seorang muslim dihinakan di sisinya tetapi ia tidak membelanya, padahal ia mampu membelanya maka Allah akan menghinakannya di hadapan semua makhluk pada hari kiamat.” 
(Riwayat Ahmad)

“Sesiapa yang membela saudaranya yang tidak ada di hadapannya dan ia mampu membelanya maka Allah akan menolongnya di dunia dan akhirat.” 
(Riwayat al-Bazzar)


Sumber :
Syarah hadis 35 (persaudaraan dan hak-hak seorang muslim)
Buku : SYARAH HADIS 40 IMAM NAWAWI
Penulis : Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto
Penterjemah dan syarah oleh Ibnu Amrullah Yusuf
Terbitan : JASMIN PUBLICATIONS
Edaran : BERLIAN PUBLICATIONS SDN BHD
Cetakan : PERCETAKAN ZAFAR SDN BHD
Cetakan pertama 2012.


--------------------------------------------------
Wallahu a'lam
Dari Abdullah Ibn Amru Ibn Al-Ash,
Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sampaikan dariku walau satu ayat"
(Hadith riwayat Al-Bukhari)