Sunday, May 31, 2015

Novel : Mawar Syurga

Buku               :           Mawar Syurga
Penulis            :           Fatimah Saidin
Terbitan          :           Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad (2013)

Harga              :           RM30 (sem. Malaysia), RM35 (Sabah/Sarawak)



Keseluruhan penceritaan dalam novel ini bolehlah saya katakan ia sebagai sebuah buku novel islamik yang bercirikan akidah islam iaitu perancangan Allah mengatasi segala perancangan hamba-Nya dan sudah pasti perancangan Allah itu jauh lebih baik dan berhikmah. Al-Quran adalah sebuah kitab yang membicarakan hakikat ini di antaranya disebutkan bagaimana nabi Allah Ibrahim a.s begitu menyayangi anaknya Ismail a.s, tetapi Allah Taala telah menyuruh Ibrahim a.s menyembelih anaknya Ismail a.s. Atas keimanan yang teguh, nabi Ibrahim a.s melaksanakan perintah tersebut (rujuk surah as-Saffat, ayat 100-111).

Begitu juga watak Mariam di dalam novel ini yang telah membuat perancangan hidupnya dengan begitu sempurna sejak dari universiti lagi. Beliau ingin melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Phd dan menjadi seorang pendakwah kepada masyarakat. Tetapi Allah lebih mengetahui segalanya. Allah mendidik Maryam si gadis cekal itu dengan ujian yang banyak dan berat. Adakalanya Maryam berasa lemah lalu Allah hadirkan insan-insan di sisinya yang boleh menguatkannya sehingga di penghujungnya, ia mampu mengatasi segalanya dan melihat bahawa rahmat Allah itu tersangatlah luas baginya. Allah melaluinya cara-Nya telah mendidik Maryam agar lebih tabah dan cekal.
Di dalam ini menampilkan perkahwinan antara dua bangsa iaitu Arab dan Melayu yang masih jarang kita lihat di Malaysia. Dua jiwa yang berbeza pada awalnya pasti sukar untuk memahami antara keduanya, tetapi perbincangan di dalam rumahtangga dilihat satu metod yang penting dalam menyelesaikan apa jua masalah yang timbul. Perlu kita ingat bahawa setiap masalah itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Ia bergantung kepada kebijaksanaan individu untuk mengatasi setiap masalah yang datang. Manusia semuanya tidak ada yang sempurna. Kehidupan berumahtangga yang saling melengkapi antara suami dan isteri  di dalam novel ini sangat baik ditunjukkan dan ia wajar diteladani dalam masyarakat pada hari ini.

Alhamdulillah syukur pada Allah yang mendetikkan hati saya untuk membeli buku ini di booth ITBM di PBAKL’15 yang lalu. Bagi saya, novel berbentuk tarbiyah islamik dan motivasi ini sukar didapati di Malaysia ini. Begitu banyak pengajaran yang diperolehi di dalamnya antaranya;

[i] ilmu itu tersangatlah penting dalam kehidupan, dengan ilmu itulah akan mengangkat martabat manusia,

[ii] manusia mempunyai sifat dan perwatakan yang berbeza yang diciptakan untuk saling melengkapi untuk memakmurkan bumi Allah ini,

[iii] setiap ujian yang Allah datangkan haruslah dilihat dari sudut yang positif sebagai tanda kita redha dengan ujian yang diberikan serta sudah pasti ada hikmah yang besar di sebaliknya,

[iv] tiada masalah yang tidak mampu diselesaikan, manusia perlu berusaha sedaya upaya untuk mengatasinya,

[v] Allah adalah sebaik-baik tempat mengadu dengan kita bersujud dan berdoa memohon keampunan dan pertolongan dari-Nya. Bukan mengadu di facebook atau twitter yang sering dilakukan generasi pada hari ini.

Bagi saya ia adalah sebuah novel yang harus dimiliki sama ada remaja atau pasangan suami isteri. Cuma dari segi aspek penggunaan istilah bahasa Arab yang ada di dalamnya, saya cadangkan diletakkan nota hujung atau nota kaki mengenai maksudnya dalam bahasa Melayu kerana tidak semua individu di dalam masyarakat kita mempunyai latar belakang pengajian bahasa Arab yang mampu memahaminya.

~Wallahu A’lam~