Wednesday, October 1, 2014

Bertrand Russell


Perkataan falsafah berasal daripada gabungan dua perkataan Greek - Philein dan Sophos- yang bermaksud ‘kecintaan terhadap hikmah’ (Ahmad Sunawari : 2008). Perkembangan falsafah boleh dilihat melalui beberapa zaman yang bermula dari zaman Greek dan Roman, kemudian ke era falsafah abad pertengahan dan seterusnya kemunculan era falsafah moden (Mohammed Yusoff : 2002).
            Salah seorang tokoh falsafah zaman moden adalah Bertrand Russell. Menurut Russell, falsafah adalah sebagai suatu kritikan terhadap pengetahuan (Abdul Fatah : 2007). Nama sebenar beliau adalah Bertrand Arthur William Russell. Dilahirkan pada 18 Mei 1872 dan meninggal dunia pada 2 Februari 1970 ketika berumur 97 tahun. Hampir seabad beliau telah menempuh kehidupan dan mencapai kemahsyuran sebagai ahli falsafah dan pengkritik sosial, penulis, serta pendidik di banyak institusi berprestij seperti Cambridge, Harvard dan Barkeley (William Dunham : 2007).
            Sepanjang kehidupannya, beliau telah menulis banyak buku. Bermula pada tahun 1896, buku pertama beliau yang berjudul German Social Democracy telah dihasilkan. Seterusnya The Principles of Mathematics (1903), Political Ideals (1917), The Analysis of Mind (1921), On Education (1926), dan yang banyak lagi sehinggalah yang terakhirnya The Collected Stories of Bertrand Russell (1972) (Al Seckel : 1986).
            Dalam ratusan tulisan beliau, dapat disimpulkan bahawa beliau lebih cenderung sebagai ahli falsafah analitikal. Di dalam The Development of Bertrand Russell’s Philosophy, pengarang dengan panjang lebar membahaskan pemikiran Russell seperti dalam metafizik, teori logik, falsafah matematik, teori keilmuan, politik, pendidikan, etika dan agama (Lewis:1972). Beliau tidak percaya kehidupan beragama dengan menganggap ia membawa kepada kebinasaan. Dari aspek politik, beliau yang juga terlibat dalam mengutuk peperangan sehingga disingkirkan dari Cambridge dan pernah ditahan di penjara Brixton selama enam bulan (William Dunham : 2007).

            Dapat saya rumuskan bahawa, Bertrand Russell seorang ahli falsafah yang hebat dalam pelbagai bidang. Cuma dari segi teologi atau ketuhanan, maka kita wajib menolak pandangan beliau yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan disebabkan hujahnya yang banyak disardarkan dan dibuktikan pada logik akal semata-mata.

Rujukan:

Abdul Fatah Hasan. 2007. Mengenal Falsafah Pendidikan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ahmad Sunawari Long. 2008. Sejarah Falsafah. Ed. Ke-2. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Al Seckel (pnyt.). 1986. Bertrand Russell on God and Religion. New York: Prometheus Books.

Dunham, William. 2007. Alam Matematik. Terj. Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Lewis, H.D (pnyt.). 1972. The Development of Bertrand Russell’s Philosphy. London: George Allen & Unwin Ltd.

Mohammed Yusoff Hussain. 2002. Pengenalan Kepada Sejarah Falsafah Barat Moden. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.

No comments: