Wednesday, December 12, 2012

~khutbah cinta~

Assalamu’alaikum sidang pembaca budiman sekalian,

Topik saya kali ini berkisar tentang cinta ALLAH dan HAMBANYA, cinta ADAM dan HAWA, cinta RASULULLAH S.A.W. dan KHADIJAH, cinta SUAMI dan ISTERI, pendek kata semua cinta yang halal sahaja. Ini bermakna tiada cinta selain cinta yang halal dan sah ini serta cinta Allah itulah yang hakiki.

Cinta yang MEMBERI adalah cinta yang paling mulia. Jika cinta tumbuh atas dorongan NAFSU dan SYAHWAT semata, ia adalah cinta yang paling rendah yang juga dimiliki oleh haiwan yang tertarik kepada lawan jenisnya. Apabila rasa cinta menimbulkan rasa mahu mendapatkan sesuatu, maka ia adalah cinta EGOIS yang mementingkan diri sendiri. Cinta yang mahu mendapatkan sesuatu ini adalah cinta yang bermotifkan keuntungan.

Tetapi cinta LUHUR memberi dengan segala bentuk PENGORBANAN. Cinta seperti inilah  yang dimiliki oleh seorang ibu terhadap anaknya. Cinta memberi tidak memikirkan syahwat dan tidak mengharapkan balasan. Cinta luhur ini adalah cinta untuk memberi dan terus memberi. Bukankah cinta luhur adalah cinta Ilahi, yang mencintai makhluk ciptaanNya dan terus memberi dan memberi? Bahkan ketika banyak hambaNya ingkar, Allah tetap memberi dan memberi. Memberikan rezeki dan anugerahNya dan terus membuka pintu taubatNya.

Jadi, apa yang perlu diberi dalam cinta antara suami dan isteri?

Jawapannya adalah kebahagiaan. Berilah kebahagiaan kepada pasangan masing-masing. Juga berilah bimbingan serta nasihat di antara suami isteri agar rumahtangga yang terbina kelak akan kekal bahagia selama-lamanya.

Mesej : sempena musim cuti sekolah ni, mesti banyak kan antara kita yang mendapat undangan pernikahan dari kenalan kita… maka, penuhilah undangan tersebut. Jom kita sama-sama menghayati sedikit khutbah cinta yang sesuai kepada mereka yang bakal mendirikan rumahtangga ataupon yang telah lama mendirikannya..(copy paste dari sebuah buku yang dah x ingat tajuk apa...)

  
KHUTBAH CINTA

Alhamdulillah, selawat dan salam untuk Rasulullah.

Wahai si suami dan si isteri.
            Hari ini kalian berdua sah sebagai suami isteri. Hari ini kalian tidak lagi dua peribadi yang berbeza, tetapi kalian adalah satu jiwa dalam dua raga. Suami adalah pemimpin dan isteri adalah pendukung. Keluarga tidak akan bahagia jika isteri tidak mentaati suaminya ataupun suami tidak memahami isterinya.

Wahai suami dan isteri.
            Sedarilah, bernikah adalah sebahagian daripada dakwah dan perjuangan. Membangunkan umat perlu dilakukan seiring dengan membangunkan peribadi muslim. Mewujudkan peribadi muslim inilah yang menjadi dasar dalam menegakkan keluarga Islam. Apabila jumlah keluarga Islam sudah banyak, maka akan lahirlah sebuah masyarakat muslim yang menjadikan Islam sebagai akhlak dan amalan hidupnya. Inilah jalan yang diajar oleh Rasulullah bagi membangunkan umat.

Wahai suami dan isteri.
            Jika seruan jihad untuk berperang menentang musuh-musuh Allah telah tiba, janganlah sampai isteri menghalang suaminya untuk turun berjuang di jalan Allah. Sebaliknya, isteri sepatutnya memberikan dorongan dan semangat supaya suami turut berjihad membela agama dan tanah air.

Wahai suami.
            Ketahuilah, perempuan tajam perasaannya. Perasaan seseorang perempuan lebih dalam daripada lautan. Perasaan ini dapat mencairkan besi dan dapat meruntuhkan gunung. Kerana itu fahamilah perasaan isterimu dan perlakukanlah dia baik dan adil. Kerana lelaki yang paling mulia adalah yang mampu bersikap baik terhadap isterinya.

Wahai isteri.
            Ketahuilah, lelaki lebih banyak menggunakan fikiran dan sangat tipis perasaannya. Kerana itu taatilah suamimu selagi dia tidak melanggar ketentuan Allah dan RasulNya. Seseorang perempuan yang melakukan solat, membayar zakat, berpuasa ramadhan, dan mentaati suaminya akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurgaNya.

Wahai suami dan isteri.
            Sedarilah, kalian bernikah dengan pasangan yang mempunyai kelemahan dan kekurangan. Kerana itu, belajarlah memahami kekurangan dan kelemahan masing-masing. Siapa yang mengharapkan kesempurnaan daripada suami ataupun isterinya akan kecewa dan keluarganya tidak akan bahagia.
            Berkeluarga adalah bukti cinta. Cinta memerlukan pengorbanan. Cinta sejati adalah cinta yang terus memberi. Cinta meneladan sifat kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Cinta sejati memberi dan bukan diberi.
            Berkeluarga adalah bagi menegakkan hukum dan ketentuan Allah. Bagi mewujudkan nilai Islam dalam keluarga hingga melahirkan zuriat soleh dan solehah yang seterusnya akan memperjuangkan agama ini, yang akan menjadi tabung amal bagi orang tuanya dan menjadi sumber pahala yang tidak terputus meskipun sudah berada di alam kubur.

Wahai suami dan isteri.
            Jagalah akhlak karimah yang diajar oleh Rasulullah dalam berkeluarga. Hormatilah yang tua, sayangilah yang muda. Amalkanlah akhlak yang mulia dalam pergaulan hingga rumah menjadi tempat yang nyaman dan menyenangkan. Supaya wujud baiti jannati, yakni rumahku syurgaku, seperti yang dicontohi oleh nabi.

Wahai suami dan isteri.
            Berhati-hatilah menghadapi badai kehidupan rumahtangga yang boleh datang dengan tiba-tiba. Jadilah nakhoda yang baik dan jadilah anak buah kapal yang baik. 

Wassalam~
--------------------------------------
Wallahu a'lam
Dari Abdullah Ibn Amru Ibn Al-Ash,
Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sampaikan dariku walau satu ayat"
(Hadith riwayat Al-Bukhari)

No comments: